Kami telah diberikan kesempatan akses awal untuk menonton kesemua lapan episod awal siri Disney+ American Born Chinese (2023). Terima kasih diucapkan kepada Disney+ Hotstar atas akses awal yang diberikan berkenaan. Dan ini adalah review siri American Born Chinese dari kami.
American Born Chinese merupakan siri TV yang membawakan semula kisah mitos klasik Sun Wukong a.k.a. Monkey King ke kaca TV. Siri Disney+ terbaharu ini merupakan adaptasi kepada novel grafik dengan judul yang sama oleh Gene Luen Yang, dan mengisahkan ujian dan kesusahan seorang remaja biasa Amerika yang hidupnya berubah selama-lamanya apabila dia berkawan dengan anak dewa mitos. Ini adalah kisah perjuangan seorang lelaki muda untuk identitinya sendiri, yang diceritakan melalui keluarga, komedi, dan pergerakan Kung-Fu penuh aksi.
Siri American Born Chinese terdiri daripada 8 episod dan telah mula ditayangkan mulai 24 Mei 2023 di saluran Disney+ Hotstar. Ianya memfokuskan kepada watak Jin Wang (lakonan Ben Wang) dan Wei-Chen (lakonan Jim Liu). Wei-Chen yang baharu berpindah ke sekolah di mana Jin Wang bersekolah. Tanpa disedari oleh Jin Wang, Wei-Chen sebenarnya adalah merupakan anak kepada dewa mitos Sun Wukong yang menyembunyikan diri di Bumi dan berusaha mengesan The 4th Scroll sebelum jatuh ke tangan orang jahat.
Dalam usaha mengesan The 4th Scroll, Wei-Chen dan Jin Wang berhadapan dengan pelbagai cabaran dan rintangan, terutama daripada Bull Demon yang turut turun ke Bumi dan menyamat menjadi manusia biasa. Dalam misinya itu, Wei-Chen dibantu beberapa figura utama dari mitos klasik berkenaan, terutamanya dari dewi Guanyin (lakonan Tan Sri Michelle Yeoh). Dapatkah Wei-Chen menjejak The 4th Scroll berkenaan dan mengelakkan dari jatuh ke tangan mereka yang tidak sepatutnya? Jangan lupa saksikan siri Disney+ American Born Chinese di saluran Disney+ Hotstar.
BERKAITAN: Disney+ Hotstar Dedahkan Treler Rasmi Siri Original Terbaharu, American Born Chinese
Siri terbaharu Disney+ Hotstar ini agak menarik kerana bijak menggunakan `laluan'yang dibuka susulan kejayaan filem Everything Everywhere All At Once yang membuka mata banyak pihak. Siri ini banyak menampilkan pelakon berlatarkan Asia, sesuai dengan tema mitos terkenal Asia yang dibawakannya. Siri ini menampilkan sudut berbeza dari kisah-kisah Sun Wukong dan perjalanan a-la Journey to the West yang selalunya kelihatan cliche dan tersangat predictable.
Dari segi perjalanan cerita, siri American Born Chinese ini turut mengangkat elemen drama remaja yang meningkat dewasa, hubungan suami isteri yang semakin dingin akibat isu kewangan, persahabatan dan pengorbanan, selain diselang-selikan dengan elemen aksi yang tidak kurang hebatnya. Terdapat juga adegan di mana diselitkan dilema dihadapi pelakon berketurunan Asia yang kerapkali diberikan watak-watak cliche dan slapstik dalam siri TV dan filem tidak berapa lama dahulu, dan pengarah siri ini ternyata bijak menggunakan elemen siri TV berlatar zaman dahulu untuk menonjolkan elemen berkenaan.
Namun begitu, siri ini tidaklah perfect. Masih ada yang boleh ditambah baik, dan kami percaya dengan teaser untuk musim kedua, mungkin ada lebih banyak kisah yang akan dirungkai.
PENILAIAN: 4/5 BINTANG
P/S: Jika anda sukakan review ini, jangan lupa untuk kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah. Sokongan anda amatlah kami hargai dalam usaha memberikan lebih banyak informasi yang menarik untuk bacaan anda.
Post a Comment