Penggambaran filem Venom 3 dilaporkan kini telah dihentikan, disebabkan oleh mogok dilakukan kesatuan pekerja-pekerja filem.
Laporan terbaharu oleh The Hollywood Reporter menyatakan yang sambungan filem spin-off superhero Sony berkenaan merupakan antara yang terkesan akibat mogok oleh kesatuan SAG-AFTRA. Filem Marvel yang menjalani penggambaran di Sepanyol sejak penghujung Jun lalu pada awalnya dijadualkan untuk tayangan di pawagam pada Oktober 2024, namun disebabkan oleh mogok berkenaan, berkemungkinan yang ianya akan berubah. Buat masa ini, masih belum ada ketetapan bilakah mogok berkenaan akan berakhir.
Filem Venom 3 diarahkan oleh Kelly Marcel, yang juga bertindak sebagai penulis skrip. Beliau sebelum ini bertanggungjawab menulis skrip kedua-dua filem Venom (2018) dan Venom: Let There Be Carnage (2021). Avi Arad, Matt Tolmach, Amy Pascal dan Hutch Parker akan bertindak sebagai penerbit.
Filem Venom 3 akan kembali dibintangi oleh Tom Hardy sebagai Eddie Brock/ Venom, selain turut menampilkan Juno Temple dan Chiwetel Ejiofor.
BERKAITAN: Review Filem Venom: Let There Be Carnage (2021) - Sony Terlalu Try Hard?
Filem terdahulu, Venom: Let There Be Carnage (2021) diarahkan oleh Andy Serkis, dan menampilkan watak pembunuh bersiri Cletus Kasady/ Carnage (lakonan Woody Harrelson) dan Frances Barrison/ Shriek (lakonan Naomie Harris).
Post a Comment