Kami telah diberikan kesempatan untuk menonton filem aksi yang amat dinantikan, iaitu Mission: Impossible - Dead Reckoning Part One (2023) bertempat di TGV 1 Utama pada 10 Julai lalu. Terima kasih kepada United International Pictures (UIP) Malaysia atas undangan tersebut. Dan ini adalah review filem Mission: Impossible - Dead Reckoning Part One dari kami.

Sekali lagi, Tom Cruise tampil cemerlang sebagai Ethan Hunt dalam filem ketujuh Mission Impossible ini. Dan seperti mana filem-filem Mission Impossible sebelum ini, filem Mission: Impossible - Dead Reckoning Part One ini mengangkat aksi stunt ke tahap yang lebih tinggi berbanding filem terdahulu.

Untuk filem Mission: Impossible - Dead Reckoning Part One ini, Hunt dan pasukan IMF berhadapan dengan musuh baharu digelar Entity yang mampu untuk menembusi semua sistem keselamatan dan talian telekomunikasi dunia. Di sebalik Entity pula, terdapat  individu bernama Gabriel yang punyai sejarah silam yang panjang dengan Hunt, sejak sebelum Hunt direkrut oleh IMF lagi. Dan seperti dijangka, sekali lagi Hunt (dan IMF) telah diperangkap – menyaksikan mereka terpaksa bergerak secara analog dan offline - untuk menghentikan ancaman berupa sebuah kepintaran buatan (AI) yang menjadi sentient, seterusnya membuat perkiraan sendiri untuk melindungi kewujudannya. Dapatkah Hunt dan IMF menghentikan ancaman berkenaan? Jangan lupa saksikan filem Mission: Impossible - Dead Reckoning Part One yang kini sedang ditayangkan di pawagam.

BERKAITAN: Saksikan Treler Filem Mission: Impossible - Dead Reckoning Part One - Bakal Ditayangkan Julai Ini

Menyebutkan filem Mission Impossible ini, tak sah jika tak membincangkan elemen aksi dan lagak ngeri (stunt). Sudah semestinya terdapat beberapa babak aksi yang ternyata sangat mendebarkan dan menampilkan koreografi yang kompleks, terutamanya melibatkan babak kejar mengejar kenderaan di kota Rom, yang menyaksikan Hunt dan Grace (lakonan Hayley Atwell) dengan tangan bergari memandu kereta Fiat kuning. Melihatkan adegan itu sahaja pun sudah cukup mendebarkan, namun sudah tentunya Tom Cruise tidak habis di situ sahaja. Ini ditambah pula dengan aksi lompatan motosikal dari tanjakan di atas tebing gunung seperti dipaparkan dalam treler (walaupun mungkin sedikit mengecewakan kerana adegan ini terlalu pendek). Kemudian ditambah pula dengan aksi pertarungan di atas keretapi penumpang yang bergerak laju, yang sedikit sebanyak merupakan call-back kepada aksi hampir sama dalam filem pertama Mission: Impossible (1996). Tak tahulah apa pula aksi yang akan dihidangkan nanti untuk filem ke-8 nanti.

BERKAITAN: Saksikan Video Stunt Terhebat Tom Cruise Untuk Filem Mission: Impossible - Dead Reckoning Part One

Ditemani ahli pasukan IMF dari filem terdahulu seperti Benji (lakonan Simon Pegg) dan Luther (lakonan Ving Rhames), filem ini turut menampilkan semula watak Ilsa Faust (lakonan Rebecca Ferguson) dan muka baharu dalam francais, Hayley Atwell (melakonkan watak Grace, si pencuri dengan motif yang agak dangkal), Hunt dalam perlumbaan mengejar masa untuk menghentikan Gabriel (lakonan Esai Morales), yang punyai agenda dendam tak terbalas untuk memastikan Hunt dan IMF dapat dikalahkan.  

Filem Mission: Impossible - Dead Reckoning Part One berdurasi 2 jam 43 minit, dan tidak dinafikan terasa agak panjang dan meleret. Bukan, ianya tidaklah membosankan, namun memandangkan tajuknya pun ada Part One (maknanya ada Part Two selepas ini), jadi agak pelik melihatkan durasi tayangan sepanjang itu. Ada adegan yang kami rasakan agak meleret dan boleh diringkaskan.

Kesimpulannya, filem Mission: Impossible - Dead Reckoning Part One merupakan filem aksi yang menampilkan aksi yang diharapkan, menepati jangkaan kami sebagai penonton. Ada babak yang kami rasakan boleh diringkaskan, namun ianya tidaklah mengganggu jalan cerita filem ini. Tak sabar kami nantikan sambungan filem ini nanti. 

PENILAIAN: 4.5/5 BINTANG

P/S: Jika anda sukakan review ini, jangan lupa untuk kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah. Sokongan anda amatlah kami hargai dalam usaha memberikan lebih banyak informasi yang menarik untuk bacaan anda.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post