Disebabkan tidak berkesempatan menonton filem Anwar: The Untold Story di pawagam, maka kami baharu sahaja menonton filem berkenaan yang kini ditayangkan di Netflix. Dan ini adalah review filem Anwar: The Untold Story dari kami.
Filem Anwar: The Untold Story mengisahkan tentang Perdana Menteri Malaysia Ke-10, Dato´ Seri Anwar Ibrahim (DSAI) yang pada tahun 1998 telah dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri akibat tuduhan salah laku seks. Ianya mengisahkan mengenai jatuh bangun perjuangan DSAI dalam dunia politik, terutamanya usaha melawan rasuah dalam kerajaan
Secara jujurnya, kami menonton filem Anwar: The Untold Story ini dengan reaksi bercampur-baur. Filem yang mengambil tempoh masa dari tahun 1993 sehingga September 1998 ini kelihatan agak `rushing´ dan `jumpy´ walaupun diolah dari kisah benar jatuh bangun DSAI dalam arena politik negara. Disebabkan pendirian DSAI yang tegas dan konsisten melawan rasuah, menolak berbagai jenis imbuhan dan wang tunai dari pihak-pihak tertentu, menyebabkan beliau mempunyai ramai musuh yang ingin menjatuhkan beliau. Kemuncaknya adalah pada tahun 1998, yang menyaksikan beliau dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan didakwa atas kesalahan seks. Walau bagaimanapun, filem ini berakhir dengan hanya memfokuskan kepada kejadian pemecatan dan insiden mata lebam sahaja, selepas DSAI dibelasah semasa berada dalam lokap dan dibiarkan tanpa rawatan perubatan hingga beberapa hari.
Kekuatan filem Anwar: The Untold Story ini adalah pada kekuatan jalan ceritanya, yang memfokuskan kepada penderitaan dan perjuangan DSAI, selain cabaran dihadapi ahli keluarga beliau yang menempuh detik-detik memilukan dan memeritkan sepanjang penahanan DSAI. Kami yakin, Farid Kamil (yang melakonkan watak DSAI) dan Acha Septriasa (yang melakonkan watak Datin Seri Wan Azizah) sedikit sebanyak berjaya menampilkan elemen kesedihan dan keazaman yang semestinya meruntun jiwa. Tidak tercapai dek akal, tekanan dan emosi yang melanda keluarga ini sepanjang tempoh pemecatan dan proses pendakwaan yang menyusul selepas itu.
Walau bagaimanapun, tempo filem ini agak sedikit terganggu disebabkan adegan yang sedikit jumpy dan kadang-kala out of sync. Adegan flashback juga ada kalanya secara tiba-tiba, dan mungkin tiak difahami bagi mereka yang tidak mengikuti rapat kes DSAI di tahun 1998 berkenaan. Namun di penghujung filem, ianya kembali menarik, terutamanya adegan DSAI mengangkat tangan di luar perkarangan mahkamah, yang kini masih menjadi gambar paling ikonik melibatkan pergelutan politik yang menggegarkan negara suatu masa dahulu.
Walaupun melibatkan figura politik penting negara, namun filem ini banyak mengambil latar penggambaran di Indonesia, malah kebanyakannya menggunakan pelakon Indonesia. Ada beberapa dialog pelakonnya yang jelas menjalani sesi dubbing yang tak kemas, menyebabkan ada adegan yang seolah-olah tak sampai penyampaian dan lontaran tonasi suaranya. Namun ini masih dapat diterima kerana filem Anwar: The Untold Story ini dihasilkan ketika DSAI masih bergelar Ketua Pembangkang, dan pastinya akan menimbulkan banyak halangan kalau dihasilkan secara proper di sini.
Bagi anak-anak muda terutamanya, kami sarankan untuk tontonlah filem ini, dan nilaikan sendiri. Walaupun telah lama berlaku (dan mungkin korang belum lahir lagi pada masa itu), segala apa yang berlaku dalam negara kita melibatkan politik ini bukanlah semuanya indah-indah belaka. Jika menonton filem ini, dan lihat apa yang cuba dilakukan DSAI sekarang, mungkin sedikit sebanyak boleh difahami, kenapa DSAI dibenci ramai sekarang ini dan cubaan demi cubaan pembunuhan karakter beliau yang masih berlaku sampai sekarang.
Kesimpulannya, filem Anwar: The Untold Story ini masih punyai banyak ruang untuk diperbaiki. Adegan yang melompat-lompat sedikit sebanyak pasti menimbulkan kekeliruan kepada penonton, terutamanya yang tak faham kejadian yang berlaku ketika tahun 1998. Malah, ketegangan hubungan DSAI dan Dr. Mahathir yang ditampilkan juga kelihatannya agak tergesa-gesa dan tidak diolah dengan lebih kemas. Tabik hormat kepada Hasnul Rahmat yag sedikit sebanyak berjaya menampilkan sisi cold Dr. Mahathir dalam filem ini.
Mungkinkah ada sambungan filem ini nanti?
PENILAIAN: 3/5 BINTANG
P/S: Jika anda sukakan review ini, jangan lupa untuk kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah. Sokongan anda amatlah kami hargai dalam usaha memberikan lebih banyak informasi yang menarik untuk bacaan anda.
Post a Comment