Kami baharu sahaja berkesempatan menonton menonton filem aksi tempatan iaitu Walid (2023) di Netflix, dan ini adalah review filem Walid dari kami.


Filem Walid mengisahkan tentang seorang guru, Walid (lakonan Megat Sharizal) yang secara sukarela mengambil inisiatif sendiri untuk mengajar kanak-kanak kurang bernasib baik di sebuah perkampungan. Walaupun dipandang sinis segelintir komuniti setempat, beliau masih berjuang memberikan ilmu pengetahuan kepada kanak-kanak sekitar. Walau bagaimanapun, apabila beberapa orang pelajarnya didapati tidak hadir ke kelas dan menghilangkan diri, menyebabkan Walid cuba menjejak petunjuk yang membawanya kepada sindiket pemerdagangan manusia dan penculikan kanak-kanak. Dengan bantuan beberapa orang rakan, Walid menjejak pelajar-pelajarnya dan menyelamatkan mereka. Berjayakah Walid?



Susulan kejayaan filem Geran (2019), Layar Pictures kembali dengan naskhah terbaharunya iaitu Walid. Di samping padat dengan aksi pertarungan seni mempertahankan diri dan silat, tema utama yang diangkat oleh filem Walid ini adalah kesedaran masyarakat tentang keselamatan kanak-kanak dan isu pemerdagangan manusia, terutamanya kanak-kanak yang dijadikan mangsa sindiket untuk meminta sedekah. Menggunakan lenggok bahasa utara dan berlatarkan sebuah negeri di utara tanahair, filem Walid mengetengahkan bakat-bakat lakonan yang rata-ratanya adalah pengamal seni mempertahankan diri, menjadikan babak pertarungan dan aksi dapat dikoreografikan dengan kemas dan tersusun. Syabas! 


Diarahkan oleh Areel Abu Bakar, filem Walid dibarisi pelakon-pelakon seperti Megat Sharizal, Namron, Fad Annuar, Fieyna Tajudin, Puteri Qaseh, Shamputra, Yusran Hasim dan ramai lagi. Dari segi sudut kamera dan teknik penggambaran, kami dapati ianya agak menarik. Babak pertarungan juga dapat dijelmakan dengan amat baik, disulami elemen-elemen segar interaksi antara watak-wataknya. Babak yang mencuri tumpuan sudah semestinya aksi pertarungan panjang di penghujung filem ini, yang kami percaya memerlukan masa yang banyak untuk direalisasikan. Walau bagaimanapun, tempo cerita yang adakalanya agak perlahan sedikit sebanyak mengganggu tumpuan ketika menonton filem Walid.  


Kesimpulannya, filem Walid ini memberikan sentuhan manusiawi yang membekas, di samping menyedarkan penonton tentang kepentingan pendidikan dan sifat kemanusiaan dalam diri setiap insan. Jangan lupa tonton filem Walid yang kini boleh ditonton di Netflix.

PENILAIAN: 4/5 BINTANG

P/S: Jika anda sukakan review ini, jangan lupa untuk kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah. Sokongan anda amatlah kami hargai dalam usaha memberikan lebih banyak informasi yang menarik untuk bacaan anda.


KOMEN ANDA

Previous Post Next Post