Kami telahpun menonton menonton filem Those Who Wish Me Dead (2021) di Netflix, dan ini adalah review filem Those Who Wish Me Dead dari kami.
Filem Those Who Wish Me Dead berdasarkan novel dengan tajuk sama karya Michael Koryta, mengisahkan tentang Hannah Faber (lakonan Angelina Jolie), seorang bomba yang bertanggungjawab memantau kejadian kebakaran hutan secara besar-besaran (smokejumper). Hannah bergelut dengan perasaannya disebabkan satu kejadian semasa bertugas yang menyebabkan kematian 3 orang pendaki muda dan rakan setugasnya dalam satu kebakaran hutan di Park County, Montana.
Dalam satu adegan berasingan pula, Owen Casserly (lakonan Jake Weber), seorang akauntan forensik di Florida yang cuba menyelamatkan diri dan anaknya dari buruan 2 orang pembunuh upahan akibat pendedahan skandal melibatkan golongan berpengaruh. Apakah kaitan antara Hannah dan Owen dalam dua adegan yang kelihatannya tiada kaitan ini? Dan berjayakah Owen dan anak lelakinya menyelamatkan diri? Jangan lupa saksikan filem Those Who Wish Me Dead yang kini ditayangkan di Netflix.
Sejujurnya ketika browsing mencari filem untuk ditonton, tarikan kepada filem ini sudah tentunya disebabkan adanya penampilan Angelina Jolie. Dan Angelina Jolie tidak mengecewakan apabila menampilkan lakonan mantap sebagai seorang bomba kebakaran hutan yang dihantui perasaan bersalah disebabkan kegagalan lampaunya dalam tugasan. Kejadian traumatik berkenaan mendatangkan perasaan simpati kepada penonton.
Dari aspek aksi dan thriller, lakonan meyakinkan Nicholas Hoult dan Aidan Gillen selaku pembunuh upahan sememangnya tepat. Watak Jack (lakonan Aidan Gillen), yang kejam dan sanggup lakukan apa sahaja untuk menyelesaikan tugasan, berjaya diimbangi dengan watak Patrick (lakonan Nicholas Hoult) yang lebih rasional, menghasilkan dinamika yang jarang dilihat melibatkan watak antagonis. Memang geram melihatkan aksi kedua-dua watak ini di layar TV.
Pada kami, watak MVP untuk filem Those Who Wish Me Dead ini sudah tentunya Allison (lakonan Medina Senghore). Wataknya ditampilkan seorang wanita mengandung, namun berjaya menyelamatkan diri dari 2 orang pembunuh upahan berkenaan yang menceroboh rumahnya, menjejak kedua-dua mereka yang mengancam nyawa suaminya, seterusnya membunuh salah seorang dari mereka.
Selain aksi mendebarkan melinatkan watak-watak utama dan 2 orang pembunuh upahan berkenaan, satu lagi aspek yang harus dipuji ialah bagaimana kejadian kebakaran hutan yang menakutkan dapat direalisasikan dalam filem ini. Kami yang menontonnya dapat merasakan betapa nyawa berada di hujung tanduk apabila melihatkan skala kebakaran hutan yang berlaku, dan berkemungkinan hampir sama dengan kejadian sebenar. Kalau kebakaran hutan atau bangunan pun sudah menakutkan, apatah lagi kebakaran hutan besar yang mengepung laluan untuk menyelamatkan diri?
Kesimpulannya, filem Those Who Wish Me Dead ini punyai aksi mendebarkan yang seimbang, penggunaan CGI yang meyakinkan, dan jalan cerita yang menangkap penonton untuk menontonnya hingga habis. Diarahkan oleh Taylor Sheridan, jangan lupa saksikan filem Those Who Wish Me Dead di Netflix.
PENILAIAN: 4/5 BINTANG
P/S: Jika anda sukakan review ini, jangan lupa untuk kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah. Sokongan anda amatlah kami hargai dalam usaha memberikan lebih banyak informasi yang menarik untuk bacaan anda.
Post a Comment