Kami baharu sahaja berkesempatan menonton menonton filem tempatan terbaharu di pawagam iaitu Soloz: Game of Life (2025), dan ini adalah review filem Soloz: Game of Life dari kami.
Filem Soloz: Game of Life adalah filem diinspirasikan dari kisah tentang pemain Esports legenda, Muhammad Faris Zakaria atau Soloz, dan diarahkan oleh Syafiq Yusof. Ianya mengisahkan tentang seorang gamer remaja bernama Soloz (lakonan Hun Haqeem), yang menempuh pelbagai cabaran dan halangan demi mengejar impiannya untuk menjadi seorang Pro Player di arena permainan video Mobile Legends: Bang Bang.
Filem ini bermula di mana Soloz menceritakan kembali sewaktu dalam satu sesi livestream, membawa penonton kembali mengenang sejarah permulaan hidupnya di sebuah kampung, alam persekolahan, dan cabaran bermulanya beliau sebagai seorang gamer. Dalam proses berkenaan, Soloz berhadapan dengan halangan pertama iaitu daripada ibunya sendiri, Lailatul (lakonan Lisdawati), yang melihat permainan video sebagai membuang masa, dan mahukan Soloz menumpukan perhatian kepada pelajaran. Nasibnya baik, apabila bapanya Zakaria (lakonan Fauzi Nawawi) memberikan sepenuh keyakinan kepadanya. memberikan harapan baharu kepada Soloz untuk mengejar cita-citanya. Mampukah Soloz memenuhi impiannya di samping menggembirakan insan-insan disayanginya? Jangan lupa saksikan filem Soloz: Game of Life yang kini ditayangkan di pawagam.
Kami bukanlah pemain Mobile Legends: Bang Bang, namun sedikit sebanyak mengetahui sosok bergelar Soloz yang merupakan salah seorang gamer terkenal Malaysia. Dan untuk sebuah filem yang khusus mengangkat jalan cerita kisah jalan cerita hidupnya dari mula hinggalah menjadi Pro Player terkenal, sudah tentulah ada value yang dilihat oleh Syafiq Yusof sehingga yakin untuk menghasilkan filem ini. Dan ternyata, tekaan kami tepat sekali.
Filem Soloz: Game of Life dilihat mampu menyeimbangkan pelbagai rencah dan rasa dalam satu filem berdurasi 2 jam 19 minit, yang waktunya berlalu tanpa terasa. Ada elemen kelakar, sedih, tegang, marah, dendam dan pelbagai lagi, disulam pula dengan emosi kekeluargaan, persahabatan, kasih sayang dan semangat berpasukan. Ternyata, elemen emosi turun naik persis roller coaster ini menyebabkan mereka yang tidak faham, malah tidak pernah bermain mahupun terdedah dengan permainan Mobile Legends: Bang Bang pun boleh memahami jalan cerita filem Soloz: Game of Life tanpa masalah.
Syafiq Yusof sangat kreatif apabila menyelitkan elemen permainan video Mobile Legends: Bang Bang secara terus, dengan transition yang sangat kemas dari dunia nyata ke paparan skrin telefon, kemudian membawa penonton terus ke dalam permainan video seolah-seolah kita berada dalam dunia magikal berkenaan. Animasi CGI yang digunakan sangat lancar dan hidup, membolehkan kita menonton permainan video di layar besar, dan menambahkan lagi rencah untuk aksi pertarungan yang mendebarkan.
Untuk watak antagonis pulak, watak Team Vengeance, terutamanya Mr. X membuatkan penonton meluat dan geram. Walaupun nampak seperti keterlaluan, namun watak berkenaan 'perlu' untuk membawa tone filem Soloz: Game of Life ini. Lakonan Ikmal Amry sebagai Mr. X nampak hidup, walau ada kalanya tampak berlebih-lebihan.
Kesimpulannya, filem Soloz: Game of Life ini cuba membawakan naratif stigma dalam masyarakat tempatan yang masih menganggap permainan video sebagai membuang masa dan tiada masa depan. Namun Soloz membuktikan dalam dunia nyata bahawa kita tak semestinya perlu membuang sifat kemanusiaan, dengan mesej tegas supanya jangan tinggalkan pelajaran, restu keluarga dan kekal ingat asal usul kita.
Yang penting, "Jalan Terus".
PENILAIAN: 5/5 BINTANG
P/S: Jika anda sukakan review ini, jangan lupa untuk kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah. Sokongan anda amatlah kami hargai dalam usaha memberikan lebih banyak informasi yang menarik untuk bacaan anda.
Post a Comment